Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara alat muzik yang kurang dikenali yang akan dipamerkan pada Pameran Borneo Boat Lute Revival di Miri.

Instrumen muzik ‘terancam’ Sarawak bakal dipamerkan di Borneo Jazz Festival

ByNurul Amarlina

KUCHING, 16 Jun: Pengunjung Borneo Jazz Festival (BJF) 2022 berpeluang melihat alat muzik yang jarang ditemui di Pameran Borneo Boat Lute Revival yang dianjurkan sempena festival berkenaan.

Pameran yang julung kali diadakan itu juga bakal memberi peluang peminat sape Sarawak untuk mengenali alat muzik pelbagai kaum yang hampir sama dengan sape namun kurang dikenali antaranya Sundatang (Dusun), Belikan (Iban), Tapi (Lun Bawang) dan Sampe’ Bali dua tali (Kenyah).

Pameran itu juga akan menampilkan demonstrasi oleh pemain-pemain instrumen masing-masing iaitu McFeddy Simon, Hayree Hashim, Rining Peter dan Salomon Gau. 

Projek Borneo Boat Lute Revival dimulakan oleh Catama Borneo, Tuyang Initiative dan CtrlD Studio, dengan ilustrasi oleh Zariq Hanif dari KertasPapel yang menyatukan usaha-usaha para penyelidik, pengamal budaya dan kreatif yang menceritakan kisah lut bot dan pemain-pemain instrumen itu dari seluruh pulau Borneo.

Alat-alat purba ini digunakan untuk perayaan, acara kerohanian dan persembahan kebudayaan dan boleh membantu menceritakan kisah pelbagai warisan masyarakat di pulau Borneo.

Pengarah Artistik Borneo Jazz 2022, Evelyn Hii berkata, norma tradisi lisan orang Borneo dengan jazz dan blues adalah luar biasa.

“Cara ekspresi yang sangat serupa, contohnya, seperti ratapan dan perayaan, hanya menunjukkan bahawa amalan dan muzik kita benar-benar universal.

“Saya memuji pasukan ini atas semangat mereka dalam projek ini, mereka telah memulakan kerja sejak sebelum pandemik, dan kemudian untuk pameran ini, supaya lebih ramai orang dapat merasai sendiri keindahan pelbagai lut bot,” katanya dalam kenyataan media Sarawak Tourism Board.

Kurator pameran Catriona Maddocks pula berkata, pameran itu merupakan kemuncak penyelidikan, lawatan lapangan dan perkongsian kemahiran yang dijalankan di seluruh Sarawak, Sabah dan Kalimantan.

“Ini akan menjadi kali pertama sesetengah orang akan mengetahui tentang beberapa instrumen terancam ini.

“Kami berharap dalam jangka masa panjang, pameran ini akan memainkan peranan kecil dalam menghidupkan semula instrumen ini dan membawa mereka ke peringkat kemasyhuran dan pengiktirafan global yang diterima oleh sape’ sejak 20 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Pameran Borneo Boat Lute Revival dibuka dari 11 pagi hingga 7 malam pada 25 dan 26 Jun 2022 di Coco Cabana.

Ia merupakan sebagai sebahagian daripada BJF tahun ini di Miri, Sarawak.

Mereka yang berminat untuk melawat pameran itu digalakkan untuk menempah slot masa mereka untuk mengelakkan masa menunggu yang lama di https://borneoboatlute.com. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan