KUCHING, 16 Jun : Masalah penglihatan yang dihadapi sejak kecil tidak menjadi penghalang buat Danny Yong Zhi Lik,18, untuk meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini dibuktikan apabila beliau memperoleh 8A dalam SPM 2021, seterusnya menjadikan Danny antara lima calon bagi murid berkeperluan khas (CBK) yang mencapai tahap kecemerlangan dalam peperiksaan berkenaan di Sarawak.
“Keputusan saya 5A+, 2A dan 1A. Kadang-kadang ada rasa nak putus asa, tapi saya berdoa kepada Tuhan untuk mudahkan urusan saya, dan kawan-kawan banyak membantu juga.
“Cara saya menenangkan diri adalah dengan bermain catur dan saya juga ada mewakili sekolah dalam permainan catur,” kata pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua, Sibu itu kepada Bernama.
Meminati subjek Sejarah, anak bongsu daripada tiga beradik itu ingin menggapai cita-cita untuk bergelar guru bagi subjek itu suatu hari nanti.
Sementara itu bagi Shallzuandy Abdul Wahab Abdullah,18, yang turut mencapai tahap kecemerlangan bagi murid berkeperluan khas pula, guru matematiknya menjadi antara inspirasi untuk beliau berjaya dalam SPM.
Berasal dari Kampung Serdang, Tanjung Manis, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Semop itu berkata pembelajaran secara dalam talian adalah antara cabaran yang dihadapi memandangkan capaian internet agak rendah di kawasan kampungnya.
“Kalau di sekolah pula, saya perlu salin nota daripada kawan kerana masalah penglihatan saya menyebabkan saya tidak dapat melihat apa yang ditulis oleh cikgu di depan.
“Saya selalu ingat pesan ayah dan ibu saya untuk sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan cikgu juga bagi semangat jangan berputus asa sebab mereka melihat saya berpotensi untuk berjaya,” katanya kepada Bernama.
Shallzuandy Abdul Wahab yang memperoleh 2A, 4A-, 1B+ dan 1D dalam SPM berkata beliau sebenarnya tidak mendapat sebarang gred A dalam peperiksaan percubaan SPM bagi semua mata pelajaran yang didudukinya.
Oleh itu, anak sulung daripada enam orang beradik itu berharap agar kejayaannya dapat menjadi motivasi kepada kesemua adiknya untuk tidak berputus asa.-TVS