KUCHING, 16 Jun : Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching Utara muncul sekolah terbaik di Sarawak berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan hari ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, sekolah lain yang turut mencatatkan GPS cemerlang ialah SM Sains Kuching, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Elizabeth, Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, SMK St Anthony, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Kubong dan SMK Tiong Hin.
Katanya, kesemua calon berkenaan mencapai 100 peratus calon yang layak mendapat sijil.
“Keputusan menunjukkan seramai 12 pelajar daripada sembilan sekolah di Sarawak mencatat keputusan cemerlang dengan memperolehi A+ dalam semua mata pelajaran pada SPM tahun lepas,”katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya, secara keseluruhan pencapaian calon SPM di negeri ini adalah amat memberangsangkan dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.17 .
“Seramai 596 pelajar memperolehi sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran,” katanya. -TVS