Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anak syarikat milik penuh GFM Services Bhd, Global Facilities Management Sdn Bhd, menerima surat setuju-terima (LOA) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan bernilai RM367.23 juta untuk Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Anak syarikat GFM Services peroleh kontrak bernilai RM367.23 juta daripada JKR

KUALA LUMPUR, 15 Jun : Anak syarikat milik penuh GFM Services Bhd, Global Facilities Management Sdn Bhd, menerima surat setuju-terima (LOA) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan bernilai RM367.23 juta untuk Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu itu menjelaskan kontrak tersebut bertempoh lima tahun mulai 15 Jun, 2022 hingga 14 Jun, 2027.

Ia menambah, skop perkhidmatan meliputi antaranya perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan berkaitan pengurusan transisi, seni bina, awam dan struktur, mekanikal, elektrik, perlandskapan, sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer, kecekapan tenaga serta pembaikan dan penggantian.

Naib Pengerusi Eksekutif, Ruslan Nordin berkata pihaknya berbesar hati apabila diamanahkan untuk menyelenggarakan infrastruktur awam yang menjadi mercu tanda seperti Istana Negara.

“Pemerolehan kontrak ini menunjukkan keyakinan JKR terhadap kemampuan GFM untuk melaksanakan perkhidmatan pengurusan kemudahan tanpa gangguan.

“Kontrak ini menyediakan kebolehlihatan pendapatan lebih baik untuk kami selain menambah semula nilai perolehan kontrak semasa kami kepada RM1.41 bilion di samping membolehkan kami mempunyai daya tarikan dalam memperoleh lebih banyak kerja daripada sektor awam,” katanya.

Beliau berkata syarikat mempunyai rekod prestasi kukuh dalam menyelenggarakan kemudahan awam, termasuk premis Bank Negara Malaysia; Pusat Pentadbiran Negeri Sabah serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

Dalam melangkah maju, syarikat akan terus meningkatkan kompetensi untuk memperkukuh saranan nilai kepada pelanggan, katanya.

“Kami mahu menguruskan Istana Negara berlandaskan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan ulung,” katanya.

Selain penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan, GFM juga merupakan pemilik syarikat konsesi aset universiti, KP Mukah Development Sdn Bhd, untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Mukah di Sarawak.

Istana Negara yang merupakan tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong terletak di kawasan seluas 97.65 hektar dan dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Komponen Formal, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan