KUCHING, 15 Jun : Perhimpunan Agung Tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-15 pada 17 hingga 19 Jun ini bakal menyaksikan beberapa pembaharuan dan pendekatan akan dilaksanakan.
Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perhimpunan kali ini ‘istimewa’ kerana akan menumpukan isu yang dapat memberikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan PBB.
Katanya, PBB mahu meneruskan usahanya supaya rakyat yakin usaha parti itu membela nasib rakyat negeri ini.
“Kita juga mahu memastikan kestabilan politik, kecemerlangan serta kemakmuran menjadi arah tuju perjuangan parti di Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung persiapan perhimpunan yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Tambah Stephen Rundi, sebanyak tiga usul akan dibahaskan sepanjang perhimpunan itu kelak dengan menyasarkan pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Antara usul yang akan dibangkitkan meliputi ekonomi, pendidikan dan politik yang mana kita kupas dengan terperinci dan seterusnya bagaimana kita dapat membangunkan Sarawak,”katanya.
Seramai 2440 perwakilan dan pemerhati dijangka akan hadir terdiri daripada Pergerakan Pemuda, Wanita dan Belia yang merupakan sayap baharu yang ditubuhkan.
Jelasnya, perhimpunan ini membolehkan Belia PBB mendapat pendedahan terbaik serta melihat kestabilan politik dalam parti itu.
Beliau menambah, tema perhimpunan kali ini pula iaitu Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak merupakan penghargaan kepada rakyat yang memberi sokongan padu kepada parti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang lepas. -TVS