KUCHING, 14 Jun : Pusat Komuniti Digital (DCC) Kampung Rebak telah mengadakan program ‘Fun Cool Homework Learning App” sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022.
Menurut pusat berkenaan bengkel tersebut disertai oleh 14 orang peserta yang mana kesemuanya pelajar sekolah.
“Objektif program tersebut adalah untuk memperkenalkan aplikasi ‘learning app’ yang mudah dan menarik untuk menarik minat pelajar belajar matematik.
“Mereka juga perlu didedahkan penggunaan aplikasi digital dengan perkara yang berfaedah,” kata pusat berkenaan.
Program itu juga adalah untuk mempromosikan pusat DCC sebagai tempat yang memudahkan pelajar mendalami ilmu dalam bidang ICT selain mendidik pelajar menggunakan aplikasi digital dengan perkara yang berfaedah seperti aplikasi-aplikasi yang bermanfaat untuk pembelajaran.
Sementara itu, DCC Perpustakaan Desa Kampung Sungai Maong juga telah menganjurkan satu program di bawah nama “Siri Literasi Digital Kitaran 2: Persediaan dan Penyelenggaraan” pada 7 Jun lalu.
Program ini antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan asas kepada penduduk kampung berkenaan penggunaan digital selain menyebarkan ilmu asas berkaitan penyelenggaraan komputer, perkakasan dan Wi-Fi.
Program “Siri Teknologi Sambungan : IoT dan Data Besar” pula telah dianjurkan oleh DCC Perpustakaan Desa Kampung Sungai Maong pada 9 Jun lepas.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan pemahaman teknologi digital.
Sesi kali ini meliputi definisi IoT, cara ia digunakan di dunia hari ini, dan Konsep Bandar Pintar Miri serta pemahaman tentang Data Besar dan penggunaannya.
DCC Perpustakaan Desa Kampung Sungai Maong turut tidak ketinggalan dalam menganjurkan program bertajuk “Siri Literasi Digital Kitaran 2: Komputer Asas” minggu lepas.
Program ini telah berjaya menyampaikan pengetahuan asas tentang komputer, termasuk perkakasan dan asas perisian, bermula dengan komputer dan internet, komputer asas keselamatan dan penyelenggaraan, dan tambahan dalam ciri kebolehcapaian komputer.
Matlamat program adalah untuk menambah baik celik digital masyarakat dengan mendedahkan mereka kepada pengetahuan asas komputer. –TVS