BAGAN SERAI, 13 Jun : Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kawasan tanah perkuburan di Kampung Jawa, Semanggol di sini yang videonya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan hasil maklumat awam kira-kira pukul 9 pagi pada 9 Jun lepas.
“Berdasarkan rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat itu yang dimuat naik dalam media sosial pada 8 Jun, seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan menceroboh dan melakukan khianat di sekitar kawasan perkuburan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazuki berkata hasil siasatan dan semakan video itu mendapati, suspek tinggal berdekatan di kawasan itu.
“Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya.-TVS