KUCHING, 13 Jun : Sebanyak 37 orang pembeli rumah mampu milik Sri Pertiwi Semariang Avenue telah diluluskan oleh kerajaan negeri dan setakat ini sebanyak 25 orang daripadanya layak untuk memohon Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS).
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak II Michael Tiang Ming Tee berkata, skim ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat kategori B40 dan M40 memiliki rumah pertama mereka.
“Projek Semariang Avenue ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Sarawak di Kuching di mana kesemua 90 unit rumah telah pun dijual dengan jayanya.
“Projek ini terdiri daripada 90 buah unit rumah yang merangkumi 60 unit rumah teres satu tingkat Sri Pertiwi yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak. Manakala selebihnya ialah 28 unit rumah teres dua tingkat dan 2 unit rumah setingkat berkembar,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kesemua unit rumah teres satu tingkat adalah mengikut piawaian rumah mampu milik Sri Pertiwi Sarawak yang menawarkan harga bermula daripada RM 270,000 untuk unit tengah dan RM 295,000 untuk unit penjuru.
Ketika berucap pada majlis perasmian itu, beliau berkata, HDAS turut diperluaskan kepada pemilik tanah yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri.
Tapak tanah yang dimiliki mestilah tanah yang diperuntukkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS).
Terdahulu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta di bawah skim tersebut menerusi Belanjawan Negeri 2022.-TVS