SARATOK, 13 Jun : Seorang lelaki maut manakala isterinya, cedera selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka bertembung dengan Perodua Myvi di Jalan Beladin Sepinang di sini petang semalam.
Akibat pertembungan itu, Mohamad Asri Saimi, 52, yang juga pemandu kereta tersepit di tempat duduk dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan peralatan khas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Shukur Jamaludin berkata, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Beladin.
“Isteri mangsa yang berusia 43 tahun pula mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi.
Muhamad Shukur berkata, insiden kira -kira pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Beladin.
Sementara itu, sepasang lagi suami isteri yang merupakan pemandu dan penumpang Myvi yang masing-masing berusia 59 dan 53 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Sepasukan anggota dari BBP Saratok bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.13 petang.
“Operasi yang diketuai PBK II Yusuf Tamin selesai pada 6.57 petang,” ujarnya.-TVS