KUCHING, 12 Jun : Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jasa Kasih menjelaskan polisi pertubuhan berkenaan yang tidak menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai bagi mengelakkan isu penyalahgunaan.
Pengasas bersamanya, Rapunzel Jamuh berkata, menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk mengadakan acara jualan, jumlah yang diterima akan ‘ditukarkan’ dalam bentuk barangan keperluan untuk disalurkan kepada golongan sasar.
Katanya, ini dapat dilihat menerusi kerjasama dengan pusat membeli -belah The Spring dengan melaksanakan program amal The Spring’s Holiday Camp bagi membantu kanak-kanak khususnya di luar bandar.
“Segala keuntungan yang diperoleh daripada program ini akan ditukar kepada bentuk barangan keperluan asas seperti pakaian, buku, makanan dan barang mainan kerana kami tidak menerima wang sebagai bentuk sumbangan.
“Ini supaya penderma dapat melihat dengan jelas ke mana hasil sumbangan mereka disalurkan,” katanya ketika ditemui TVS di sini hari ini.
Sementara itu Rapunzel turut memberitahu, pihaknya kini fokus untuk membantu masyarakat di luar bandar kerana masih ramai yang tinggal di kawasan berkenaan tidak mampu membeli pakaian dan barang permainan untuk anak – anak mereka.
Sementara itu, Pemenang Tempat Kedua Masterchef Asia 2015, Jasbir Kaur yang turut terlibat sebagai penderma utama dan penyelia aktiviti bagi program ini.
Katanya, penganjuran program berkenaan sangat membentuk dan mendidik anak menjadi individu yang prihatin.
“Saya percaya kerja amal bermula di rumah.
“Jika kita tidak menunjukkan contoh yang baik, bagaimana anak-anak kita akan belajar,”katanya.
Acara ‘The Spring Holiday Camp’ berlangsung bermula pada 10 hingga 12 Jun merupakan kesinambungan daripada dua kempenTanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kerjasama antara The Spring dengan Jasa Kasih, iaitu kempen Gawai-Raya, “Juh, Gi Kampong” dan program sumbangan amal, Jasa Kasih: Gift Of Giving.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program termasuk peraduan menghias kek cawan, bengkel membuat gelang, dan peraduan fesyen kitar semula.-TVS