SINGAPURA, 12 Jun : Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sekian lama terjalin ketika mengunjungi Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) republik itu.
Mindef dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Sabtu memaklumkan, Hishammuddin kini berada di Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-19 bermula Jumaat (10 Jun) hingga Ahad (12 Jun).
Hishammuddin bertemu Lee di Istana pada Sabtu dan turut dihadiri Menteri Kanan (Pertahanan) republik itu Zaqy Mohamad.
Ketika pertemuan itu, Lee dan Hishammuddin sepakat untuk terus mengeratkan kerjasama, dan hubungan rakyat antara Singapura dan Malaysia terus diperkukuh.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan tindak balas terhadap cabaran keselamatan serantau seperti keselamatan siber dan maritim serta memerangi keganasan.
“Mereka mengulangi kepentingan mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada melalui platform pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), ADMM-Plus, Perjanjian Pertahanan Lima Negara, dan juga menekankan keberkesanan langkah kerjasama gabungan seperti Rondaan Selat Melaka dan Kemudahan Maklumat Menangani Keganasan dalam meningkatkan keselamatan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.-TVS