KUCHING, 12 Jun : Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 yang merupakan acara tahunan dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) kembali berlangsung untuk tahun kelima.
Bertemakan Decoding Big Data For Environmental & Energy Sustainability, persidangan akan bermula pada 21 Jun hingga 22 Jun 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching.
Dianjurkan secara hibrid dengan acara hari pertama akan berlangsung di BCCK dengan anggaran kehadiran lebih 2,500 peserta.
Penganjur turut menjangkakan lebih 40,000 penonton dalam talian manakala pada hari kedua, semua trek akan boleh diakses pada platform maya melalui webinar.
Salah seorang daripada panel jemputan ialah Pengerusi Maersk & Nominated Chairman Siemens, Jim Hagemann Snabe.
Snabe dijangka akan berkongsi pengalaman digitalnya untuk membantu mempercepatkan transformasi digital perniagaan dan masyarakat di negeri ini.
IDECS diharap dapat menyuntik idea baharu untuk membuat pembangunan di Sarawak seterusnya merevolusikan ekonomi dan industri tempatan ke arah memacu pertumbuhan dan kemajuan sosio-ekonomi.
IDECS telah berkembang menjadi platform terkenal di peringkat global.
Ini sekaligus membolehkan Sarawak untuk mempamerkan inisiatifnya dalam mengembangkan ekonomi digitalnya kepada pemain teknologi antarabangsa yang terkemuka. -TVS