JAKARTA, (INDONESIA) 10 Jun : Pemain badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia terkandas pada suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2022 di tangan wakil tuan rumah, Anthony Ginting di Stadion Istora Senayan hari ini.
Zii Jia, pemain ranking kelima dunia bermula baik apabila menang 21-18 pada set pertama namun gagal meneruskan rentak permainan apabila akur 16-21 dan 15-21 pada dua set berikutnya dalam aksi yang berlangsung selama hampir 70 minit.
Ditemui TVS selepas perlawanan, bekas Juara All England 2021 itu berjanji akan kembali pada kejohanan akan datang dengan permainan yang lebih mantap.
Katanya, hari ini dia harus ‘akur’ kepada Anthony yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.
“Banyak kesilapan mudah yang saya lakukan dan ini sesuatu yang harus diperbaiki,”katanya.
Turut gagal melangkah ke separuh akhir ialah pasangan Aaron Chia dan Soh Woi Yik yang tewas kepada wakil China, Lian Wei Keing – Wan Chang dalam pertarungan tiga set.
Pasangan Goh Sze Fei dan Nur Izzudin juga terpaksa pulang awal selepas tewas kepada wakil Indonesia,Marcus Gideon dan Kevin Senjaya Sukamuljo dengan keputusan 10-21, 21-11 dan 21-18.
Sementara itu beregu wanita negara, Pearly Tan dan M.Thinaah memberi khabar gembira apabila menewaskan wakil Thailand, K. Jongkolphan dan P. Rawinda dengan straight set 21-11 dan 21-16.
Mereka akan bertemu pasangan tuan rumah , Apriani Rahayu dan Siti Fadia pada separuh akhir esok. -TVS