LUBOK ANTU, 10 Jun : Penggunaan aplikasi dompet elektronik ‘made in Sarawak’ iaitu S Pay Global kini semakin meluas di negeri ini termasuk di luar bandar.
Tinjaun TVS di pekan kecil ini yang terletak kira – kira 250 kilometer (km) dari Kuching mendapati ramai di kalangan pemilik kedai di sini sudah menerima kaedah pembayaran tanpa tunai daripada pelanggan mereka.
Peniaga di kedai aksesori dan pakaian beridentiti Iban, Sim Mawarui berkata, dia mula menggunakan S Pay Global sejak tahun lepas.
Katanya, aplikasi berkenaan sangat memudahkan transaksi jualan di kedainya kerana pelanggan tidak perlu membawa wang tunai.
“Ia sesuai kerana kita masih berada pada fasa peralihan ke endemik,”katanya kepada TVS baru – baru ini.
Platform mudah alih teknologi kewangan S Pay Global yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2017 kini berkembang pesat apabila mencatatkan 590,290 pengguna berdaftar dan 85,445 peniaga di seluruh negeri sehingga hujung tahun lepas.
Di samping itu, ia turut merekodkan transaksi bernilai RM1.8 bilion sejak dilancarkan.
Berkongsi lanjut tentang kemudahan itu, Sim berkata, ‘kehadiran’ S Pay Global di pekan berkenaan juga memberi kelegaan kepada orang ramai.
“Ini kerana di sini hanya terdapat satu sahaja mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pada waktu hujung minggu, orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mengeluarkan wang,”katanya.
Sementara itu, ditanya tentang perniagaannya selepas hampir semua sekatan yang dikenakan kerajaan dimansuhkan, dia berkata, keadaan hampir pulih.
“Masa tiada orang dulu disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya jual secara dalam talian sahaja, sambutan sangat perlahan.
“Sempena Hari Gawai baru – baru ini, saya menerima pelanggan yang ramai, hampir sama seperti sebelum pandemik,” katanya. -TVS