Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesta jazz antarabangsa Borneo Jazz Festival (BJF) 2022 bakal memukau peminat muzik dengan persembahan daripada Land of the Rising Sun, Gecko & Tokage Parade, Alemay Fernandez & Richard Jackson, NIKKOLLECTIVE dan Mark Hartsuch yang akan menyelami genre campuran pop, rock dan soul dalam muzik jazz.

Alami muzik jazz fusion di Borneo Jazz Festival 2022

ByNurul Amarlina

KUCHING, 9 Jun : Pesta Borneo Jazz Festival (BJF) 2022 bakal memukau peminat muzik dengan persembahan hebat daripada beberapa artis terkenal antarabangsa.

Antara yang mengesahkan untuk membuat persembahan termasuklah Land of the Rising Sun, Gecko & Tokage Parade, Alemay Fernandez & Richard Jackson, NIKKOLLECTIVE dan Mark Hartsuch.

Kumpulan penyanyi berkenaan akan menampilkan kepelbagaian genre seperti pop, rock dan soul dalam muzik jazz.

Menurut Sarawak Tourism Board (STB), pesta jazz yang akan berlangsung di Miri bermula pada 24 hingga 26 Jun ini bakal menarik minat generasi muda dengan muzik nu-jazz daripada Land of the Rising Sun, Gecko & Tokage Parade dari Jepun.

“Kumpulan muzik jazz instrumental generasi baharu ini diketuai oleh komposer dan pemain piano Wataru aka Gecko dengan moto mereka mengejar bunyi generasi baharu,” kata STB menerusi kenyataan media.

Kuartet ini akan mempersembahkan campuran muzik pop, piano klasik, post-rock dan gitar fusion yang menggabungkan bunyi eksperimental yang pasti akan menarik minat generasi muda.

Selain itu, BJF 2022 juga mengalu-alukan pasangan Alemay Fernandez dari Singapura dan Richard Jackson dari Amerika Syarikat.

Suara Alemay yang luar biasa telah membawanya ke pentas dengan pemuzik-pemuzik hebat seperti The Count Basie Orchestra, David Foster dan Laura Fygi.

Manakala Richard ialah seorang penghibur berpengalaman yang telah membuat persembahan di konsert The Stylistics, Regina Bell, Tuck & Patti, Peabo Bryson dan Incognito.

Gaya unik Alemay dan Richard bakal menggabungkan muzik asli dan cover jazz/soul dengan band terkemuka yang menampilkan Euntaek Kim pada piano, Jase Sng (bass) dan Erik Hargrove (dram).

Pemuzik lain yang juga akan menjadi tarikan BJF 2022 ialah pemain piano Itali Nikko Ielasi yang akan menggabungkan elemen-elemen jazz, gospel, pop dan rock dalam persembahan bersama kumpulannya, NIKKOLLECTIVE.

Nikko akan disertai oleh pemain bass Adriano Matkovich dan pemain dram Arthur Kam dari Malaysia, seorang lulusan dari kolej muzik berprestij Berklee College of Music.

Menurut STB, pada 2019, Nikko menjadi pekak di sebelah kanan secara tiba-tiba dan tidak dapat dipulihkan akibat Hilang Pendengaran Mengejut, namun kecekalannya untuk terus tabah meneruskan semangatnya sebagai seorang pengarah muzik.

BJF 2022 juga akan menampilkan pemain saxophone Mark Hartsuch, yang terkenal dengan karyanya bersama legenda muzik dari India dan pemenang anugerah Grammy dan Oscar, AR Rahman serta menerbit, menggubah dan merekod muzik bagi filem-filem Bollywood dan pemuzik bebas dari seluruh dunia.

Tahun ini istimewa kerana BJF 2022 akan diadakan dalam format hibrid di mana pengunjung festival boleh menikmati persembahan di di Coco Cabana, Miri atau distrim secara langsung dari seluruh dunia.

Tiket untuk acara itu sudah mula dijual dan maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web rasmi jazzborneo.com atau penjual tiket rasmi, Majlis Bandaraya Miri melalui emel ptbmiri@gmail.com dan Transworld Travel Services Sdn Bhd melalui emel twtmiri@hotmail.com. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan