Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) tidak akan bersaing dengan parti kerajaan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meletak calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah.

Harapan tidak akan bersaing dengan GRS pada PRU15

TAWAU, 7 Jun : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) tidak akan bersaing dengan parti kerajaan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meletak calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah.

Bagaimanapun kata beliau, jika diberi peluang oleh GRS untuk meletak calon daripada parti itu di mana-mana kawasan, pihaknya bersedia untuk berjuang demi kemenangan kerusi yang akan ditandingi.

“Kalau diberi peluang, kami akan cuba, tapi kami tidak lobi, kami tidak berebut, kami ikut, jika pucuk pimpinan pada masa itu rasa parti Harapan calonnya layak, kita ikut (bertanding),” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Liew berkata, parti diterajuinya telah memohon untuk menyertai GRS kerana yakin dengan halatuju GRS yang sentiasa bersemangat memperjuang kepentingan rakyat Sabah khususnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebab apa yang kita nampak walaupun Covid-19 begitu hangat mereka (GRS) masih bagi tumpuan bantu rakyat dan GRS ini mempunyai banyak tokoh pemimpin di dalamnya.

“Saya sudah banyak kali bertemu mereka (pemimpin GRS) dan saya tahu halatuju mereka adalah untuk rakyat maka itu kami (Harapan) harus bersama-sama dengan parti yang bersemangat untuk rakyat walaupun kami hanya sekumpulan yang tidak besar tetapi kami akan bantu perjuang hak rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu Liew berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan, Rina Jainal keluar parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyertai Harapan pada Ahad lepas wajar dilihat dari sudut positif sebagai tindakan yang berani.

“Hentikanlah segala fitnah kepada Rina kerana seorang (ahli) politik jika mahu ambil keputusan untuk undur dari sesuatu tempat (parti) itulah satu tindakan yang sangat berat, yang susah, tapi Rina telah buat.

“Kita bagi dia tempoh dahulu, tiga bulan jika Rina tidak boleh bekerja hanya bercakap sahaja, barulah kita fitnah si Rina ini masuk parti ini cari keuntungan tapi kalau dia bekerja beri sokongan padu kepadanya,” katanya lagi.

Sementara itu Rina ketika ditemui pada sidang media sama berkata, banyak perancangan yang ingin dilaksanakannya di DUN Kukusan sebelum ini namun berhadapan kekangan dana susulan berada di blok pembangkang.

“Saya sebenarnya ada banyak senarai yang ingin saya lakukan program setiap bulan untuk rakyat, tetapi setiap hari itu jugalah saya pening macam mana saya mahu laksanakan apa yang saya rancang, adakah kita cukup peruntukan untuk buat semuanya.

“Tetapi saya bersama pasukan tetap berusaha memberi khidmat walaupun tidak ada sokongan kami tetap bekerja apatah lagi bila ada sokongan dan bantuan pastinya apa yang kami rancang boleh dilaksanakan,”katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan