Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Budaya pengasingan sisa dan kitar semula sebelum ini dilihat sebagai kaedah proaktif dalam mengurangkan janaan sisa buangan melalui Kempen ‘Reduce, Reuse, Recycle’ atau ‘3R’ yang telah diperkenalkan pada 2004.

‘3R’ bukan sahaja kesedaran tapi tanggungjawab

ByAmirah Shawel

KUCHING, 5 Jun : Budaya pengasingan sisa dan kitar semula sebelum ini dilihat sebagai kaedah proaktif dalam mengurangkan janaan sisa buangan melalui Kempen ‘Reduce, Reuse, Recycle’ atau ‘3R’ yang telah diperkenalkan pada 2004.

Kempen tersebut signifikan dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun dan tahun ini bertemakan #OnlyOneEarth dengan melibatkan pembabitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun begitu, amalan dari hasil kempen tersebut pada masa kini kurang mendapat perhatian umum.

Berdasarkan laporan syarikat pengurusan alam sekitar, Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, jumlah sisa buangan yang dihasilkan oleh Sarawak mampu mencapai sehingga 690 tan setiap hari dengan 0.74 kilogram bagi setiap individu.

Pengarah Syarikat ZHA Environmental, Bernard Yong Hua Boon berkata prinsip yang diperkenalkan oleh kempen tersebut perlu dititikberatkan dan diperkenalkan semula dalam mencapai kelestarian alam sekitar.

Jelasnya kempen pengurangan, guna dan kitar semula bahan buangan sebelum ini telah berjaya membuka mata orang ramai mengenai kepentingan pengasingan sisa buangan.

“Kempen 3R itu sebenarnya menjadi semakin signifikan pada masa ini.

“Kita memiliki teknologi yang canggih untuk menghidupkan semula semangat terhadap alam sekitar bagi menggalakkan orang ramai memainkan peranan untuk menjaga alam sekitar,” katanya yang ditemui TVS baru–baru ini.

Namun begitu menurut Bernard, kesedaran sahaja belum cukup kerana ia perlu diiringi dengan tindakan dan pelaksanaan tanggungjawab dalam membawa kepada perubahan.

Oleh itu, pendidikan alam sekitar perlu diimplementasikan di setiap peringkat umur bagi mendidik minat mendalam terhadap penjagaan alam sekitar.

“Selain menawarkan kursus kepada pelajar dengan memberikan kelayakan kepada mereka, pihak universiti perlu membimbing mereka agar dapat membina kerjaya daripadanya.

“Ini adalah antara usaha untuk menanam minat mereka dalam industri ini,” katanya.

Seperti Bernard, peniaga barangan anime, Ezam Ariff juga bersetuju perlu ada tindakan susulan dan kesinambungan terhadap kempen yang dilaksanakan bagi memastikan ia berkesan.

“Kempen boleh dilaksanakan sebanyak mana yang diinginkan namun sekiranya tiada sebarang tindakan dan kesinambungan maka ia hanyalah sekadar kempen sahaja,” katanya.

Bagi peniaga kraftangan, Hardee Azmi pula ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Kedua-dua pihak perlu mendidik anak-anak supaya mereka tahu tentang konsep asas dan kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, bagi mencapai kelestarian alam sekitar Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berkata Sarawak akan menyokong segala usaha kitar semula seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Kita telah dianugerahkan beberapa sumber tenaga seperti sungai dan hujan jadi kita boleh menggunakan kuasa hidro iaitu kuasa daripada air untuk menjana elektrik.

“Sarawak juga akan memberikan fokus terhadap penggunaan kuasa hidrogen sebagai tenaga hijau,” katanya.

Tambahnya, keputusan Sarawak memasukkan pembangunan mampan dan perubahan iklim dalam agenda negeri adalah bertepatan menjelang Sarawak Maju 2030. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan