MIRI, 4 Jun : Kerajaan komited memberi sokongan dan ruang kepada anak muda untuk mengembangkan sukan elektronik (e-sukan) melalui penganjuran pertandingan permainan ‘Mobile Legends’.
Pusat Komuniti Digital (DCC) Batu Niah, dalam satu kenyataan hari ini, menyebut penganjuran acara seperti ini bersempena dengan bulan digital bagi Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 merupakan medium untuk mencungkil bakat anak muda dalam arena e-sukan.
“Sebanyak tujuh pasukan mendaftar untuk kejohanan kali ini dan semua peserta merupakan golongan belia dari Batu Niah,” katanya.
Penganjuran sempena IDECS 2022 ini juga dapat memupuk semangat berpasukan dan kerjasama dalam kalangan ahli pasukan.
Pada masa yang sama, ia juga merupakan antara langkah bagi memperkenalkan DCC Batu Niah kepada golongan belia sebagai tempat untuk berkumpul selain wadah untuk penganjuran aktiviti komuniti setempat.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin pertandingan sukan elektronik dapat mempromosikan e-sukan pada peringkat akar umbi dan memupuk bakat individu untuk mewakili negeri mahupun negara.
“Sebanyak tiga pingat gangsa telah disumbangkan oleh peserta kepada Malaysia pada Sukan SEA yang lalu dalam acara e-sukan, dan ada di antara mereka adalah wakil dari Sarawak,” katanya. – TVS