JAKARTA, 4 Jun: Setelah digantung selama dua tahun sejak 2020, Kementerian Agama Indonesia melepaskan keberangkatan 389 jemaah di Asrama Haji Pondok Gede untuk berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada Sabtu (04/06) seawal jam 2.44 pagi waktu tempatan.
Kemudian rombongan tersebut akan dihantar ke Mekah, Arab Saudi, untuk memulakan ibadah haji bagi tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi.
Ketua Pengarah Penganjur Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia, Hilman Latief, berkata Indonesia akan menghantar 241 jemaah haji dari 13 kota di Indonesia.
Keberangkatan pertama ini melibatkan sekumpulan jemaah yang datang dari Jakarta, Bekasi, Padang, Surabaya dan Solo.
Selain melepaskan jemaah haji, Hilman berkata, jemaah haji ini juga disahkan kesihatan mereka.
Beliau menegaskan semua jemaah haji sudah menerima dos vaksin yang lengkap, termasuk vaksin penggalak, untuk COVID-19 dan kesihatan mereka disahkan baik.
“Vaksin untuk jemaah haji kita sudah lengkap, ujian PCR adalah wajib. Sekurang-kurangnya mereka juga sudah dua kali divaksin, selain bagi vaksin meningitis.
“Harap-harap jemaah haji kita sudah memenuhi syarat, cuma perlu dipastikan kesihatan mereka,” katanya.
Untuk tahun ini, Indonesia menerima kuota 100,051 jemaah.
Ibadah haji tahun ini merupakan yang pertama dijalankan selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19. – TVS