KUCHING, 3 Jun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak melancarkan Operasi Kesiapsiagaan bagi menghadapi peralihan monsun barat daya (musim kering) yang dijangka berlaku hingga Oktober depan.
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Dato Sri Ts Mohammad Hamdan Wahid, langkah ini diambil pihaknya setelah melihat kemungkinan besar berlakunya peningkatan insiden kebakaran disebabkan cuaca panas yang melampau pada ketika ini.
“Selalunya bila memasuki fasa peralihan monsun barat daya kering, ia akan mengakibatkan kebakaran hutan, kebakaran belukar, kebakaran pelupusan sampah, kebakaran tanah gambut dan juga kebakaran struktur, yang mungkin meningkat sedikit pada musim kepanasan melampau ini,” katanya ketika menghadiri majlis pelancaran operasi berkenaan di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, hari ini.
Hamdan menambah, berdasarkan statistik yang diperoleh pihaknya, beberapa lokasi panas telah dikenalpasti, yang rata-ratanya melibatkan kawasan bandar.
“Di Sarawak ini, kita telah pun kenal pasti beberapa ‘hotspot’ yang mana salah satunya adalah di kawasan Miri, keduanya di Sibu, Mukah dan beberapa tempat yang mungkin secara terpencilnya di Kuching.
“Oleh itu kita telah menggerakkan seramai 1,200 anggota di seluruh Sarawak yang mana kita akan turut libatkan anggota bomba bantuan jika keadaan memerlukan,” katanya.
Menurut Hamdan lagi, JBPM Sarawak dengan bantuan Kerajaan Negeri akan turut menggunakan pesawat udara kawalan jauh tanpa pemandu (atau dron) bagi mengawasi aktiviti pembakaran terbuka yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada insiden kebakaran di negeri ini.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman @ Hussaini. – TVS