DALAT, 3 Jun : Pihak polis menahan pasangan suami isteri yang dipercayai suspek kes curi di sebuah kedai dobi di Dalat sekitar jam 2 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan (DSP) Saga Chunggat berkata, kelibat suspek mencuri dompet dan telefon bimbit pengadu, berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kedai dobi tersebut.
“Dalam kejadian pada petang Rabu itu, penggadu yang bekerja di kedai dobi berkenaan meletakkan dompet dan telefon bimbitnya di dalam topi keledar di sebelah sinki berdekatan pintu belakang semasa melakukan kerja pembersihan sebelum menyedari barangnya hilang,” katanya.
Selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat, pihak polis di daerah berhampiran turut dimaklumkan.
“Sekitar pukul 2 petang pada Khamis, pasangan tersebut berjaya ditangkap ketika kereta dinaiki mereka berjaya dikesan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dari IPD Mukah ketika sedang menghala ke arah Balingian di Jalan Mukah-Balingian.
“Namun demikian, semasa diarahkan berhenti, suspek ingkar arahan dan bertindak memecut kenderan sehingga berlakunya aksi kejar mengejar dalam tempoh 20 minit sebelum pihak polis berjaya memintas kenderaan suspek berdekatan Kampung Penipah, Mukah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, suspek yang berusia 41 tahun dan isterinya, 31 tahun masing-masing mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Suspek ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan akan direman untuk siasatan lanjut. – TVS