KUALA LUMPUR, 3 Jun : Bekalan ubat-ubatan di pasaran dalam negara masih berada pada tahap yang terkawal meskipun pihak industri menunjukkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Norhaliza A Halim memaklumkan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal yang dilaporkan dalam media massa dan menerusi laman sosial adalah tidak benar sama sekali.
“KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah mengadakan perjumpaan dengan pihak industri farmaseutikal, iaitu Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) pada 2 Jun 2022.
“Namun, pada masa ini, tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kekurangan bekalan dikatakan melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
Dalam pada itu katanya lagi pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Justeru tambah beliau, pemantauan yang ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia. – TVS