Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pungu Borneo beri peluang pelanggan olah perhiasan sendiri

ByNur Suhaida Muliyono

 

KUCHING, 2 Jun: Memberi peluang kepada pelanggan untuk mengolah perhiasan mereka sendiri menjadi salah satu sebab kenapa Pungu Borneo menerima sambutan menggalakkan daripada kalangan pemakai barang perhiasan berasaskan manik.

Rantai pilihan pelanggan akan dibuat mengikut cita rasa mereka memandangkan terdapat pelbagai jenis manik yang digunakan.

Pemilik Pungu Borneo, seorang anak jati Sarawak berbangsa Bidayuh, Lucille Awen Jon, berkata setiap rekaan rantai mempunyai cerita di sebaliknya, lebih-lebih lagi rantai berkonsepkan tradisional.

“Sebelum ini, kita banyak mendengar isu mengenai produk berkualiti rendah dan elemen yang dicampur aduk, menyebabkan kekeliruan kepada pengguna.

“Saya sendiri sememangnya meminati seni manik. Disebabkan itulah saya mahu membantu kaum saya sendiri untuk mengetengahkan produk tradisional ini dari segi penyampaian yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sejahtera Asia Istimewa Gawai terbitan TVS semalam.

Lucille memberitahu, Pungu Borneo juga mendapat tempahan perhiasan untuk sewaan dan diragakan dalam pertunjukan fesyen, selain turut membuat rantai ‘sedia untuk dipakai’ (ready-to-wear).

Bagi perayaan Hari Gawai pada tahun ini, Lucille memaklumkan permintaan perhiasan rantai berasaskan manik sangat memberangsangkan dan para pelanggan mempunyai cita rasa yang berlainan.

“Pada tahun ini, pelanggan kebanyakannya meminta perhiasan rantai berkonsepkan tradisional asli berbanding beberapa tahun lepas yang lebih mengikuti trend semasa seperti menggunakan rantai ‘choker’ dan sebagainya,” jelasnya.

Menyentuh mengenai penerimaan pasaran di Semenanjung Malaysia, Lucille berkata walaupun perjalanannya tidak mudah sejak enam tahun lepas, namun beliau berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian Pungu Borneo setakat ini.

“Sebelum ini, kenalan saya telah memperkenalkan Asian Designer Guild (ADG) kepada saya, dan syukur, saya telah diberi peluang untuk meletakkan produk Pungu Borneo di dalam Seksyen ADG di Mid Valley, Metrojaya.

“Tidak lama lagi, produk Pungu Borneo juga boleh didapati di Pavilion Kuala Lumpur dan LaLaPort Bukit Bintang,” ujarnya.

Lucille menambah, harga produk perhiasan Pungu Borneo adalah berbeza-beza, mengikut jenis manik yang digunakan, dan ia boleh didapati dalam talian menerusi laman Instagram dan Facebook Pungu Borneo. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan