JAKARTA, 1 Jun : Badan Narkotik Nasional Indonesia (BNN) memusnahkan 5 hektar ladang ganja yang siap dituai di Desa Agusen, Kecamatan Blangkejeren, Kabupaten Gayo Lues, Aceh.
Ladang ganja itu terletak di Hutan Perlindungan Pergunungan Leuser.
“Pemusnahan dilakukan pada Selasa (31/5) kelmarin dan 143 anggota gabungan dikerahkan, bekerja sama menempuh jarak dengan berjalan kaki selama 6 jam,” kata Timbalan Pengarah Narkotik Pemberantasan BNN Brigedier Jeneral Roy Hardi Siahaan dalam kenyataan rasminya hari ini, yang turut mengetuai operasi pemusnahan ladang ganja tersebut.
Gerakan bersepadu itu berjaya membersihkan lebih daripada 20,000 pokok ganja dengan jumlah berat 10 tan dengan keluasan ladang 5 hektar.
Pasukan itu menghadapi kesukaran untuk sampai ke padang dan terpaksa menggunakan tali bagi mengelak terjatuh ke dalam gaung ketika memanjat dan menuruni ladang ganja tersebut.
Malah untuk sampai ke lokasi tersebut, pasukan terpaksa berjalan selama enam jam dengan kecondongan sehingga 90 darjah.
“Pada ketinggian 1,660 meter dari aras laut dan 1,715 meter dari aras laut, ladang ganja seluas 5 hektar itu ditemui pasukan BNN pada Isnin, 23 Mei 2022,” katanya lagi.
Dengan musnahnya ladang ganja berkenaan, BNN berharap orang ramai akan lebih peka dengan peraturan yang melarang keras pemilikan, penanaman dan pengedaran haram barangan terlarang itu.
Menurut BNN, Aceh merupakan bandar pengeluar ganja terbesar di Asia Tenggara.
Usaha pihak berkuasa Indonesia berkempen mengenai larangan ganja terus dijalankan sehingga kini. – TVS