Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Samajaya Forest Park merupakan hutan belantara dalam kawasan bandar yang menjadi tempat terapi minda buat para pesara.

Terapi minda buat pesara di Samajaya Forest Park

ByKhairil Zharif Affindie

KUCHING, 1 Jun : Samajaya Forest Park merupakan hutan belantara dalam kawasan bandar yang menjadi tempat terapi minda buat para pesara.

Bahkan mereka juga dapat merasai kesegaran hutan kekal dalam keadaan semula jadi.

Ia terletak hanya 10 minit sahaja perjalanan dari pusat bandar raya Kuching.

Menurut pesara kerajaan, Thomas Lau, 71, kawasan tersebut menyediakan kemudahan yang baik.

Thomas Lau, 71, antara pengunjung Samajaya Forest Park.

“Sangat dingin, sangat nyaman. Ia adalah tempat yang bagus untuk bersenam dan mereka telah menyediakan kemudahan yang baik di sini,” katanya.

Sementara itu, Vicky Tay, 65 dan Joyce Teo, 66, pergi ke kawasan itu setiap hari untuk melakukan aktiviti senaman dan berjoging.

Vicky Tay, 65, dan Joyce Teo, 66, antara pengunjung Samajaya Forest Park.

“Saya datang ke sini setiap hari untuk joging kerana saya rasa udara di sini segar. Ia ada banyak pokok dan persekitaran yang sangat baik. Saya dari Tabuan Laru, sebuah kawasan perumahan, di mana udara tidak begitu segar. Banyak pencemaran. Sebab itulah saya suka dengan (taman) ini,” kata Vicky.     

“Saya datang ke sini pada Isnin hingga Jumaat kerana pada Sabtu, saya membeli-belah pada sebelah pagi, dan pada Ahad, saya mahukan masa untuk berenang.

 “Oleh kerana saya beragama Kristian, saya pergi ke gereja pada Ahad. Ada dua hari saya tidak datang ke sini,” kata Joyce.

Trek joging Sama Jaya adalah antara yang paling popular di Kuching dengan jarak 870 meter hingga 1,600 meter.

Sebanyak 13 pondok rehat disediakan di sepanjang trek joging untuk berehat atau berlindung daripada cuaca buruk.

Terdapat juga taman refleksologi atau urutan kaki dipanggil ‘Path Of Good Life’ yang merupakan laluan batu kerikil di mana pengunjung berjalan tanpa alas kaki.

Taman ini juga mempunyai Taman Etnobotani dengan lebih 80 spesies tumbuhan dan herba dari seluruh Sarawak.

Sebelum ini terdapat muzium biologi hasil kayu, buluh dan hutan yang memberi tumpuan kepada kepentingan hutan kepada ekologi dan ekonomi negeri.

Terdapat juga menara tinjau yang memberi pengunjung pemandangan panoramik di kawasan tersebut.

Pelbagai jenis mamalia kecil, reptilia dan amfibia terdapat di taman selain pelbagai spesies monyet liar.

Vicky memberitahu taman itu juga didiami banyak monyet.

“Perkara menarik di sini ialah kadang-kadang, jika bernasib baik, anda dapat melihat banyak keluarga monyet, si ibu dengan si anak, dan di sana, mereka menaiki pokok dan kemudian mereka bermain-main,” katanya.

Bagaimanapun, pada pendapat Thomas, pengunjung tidak sepatutnya memberi makanan kepada monyet tersebut kerana, menurutnya, monyet yang berada di Samajaya Forest Park merupakan haiwan liar.

“Saya rasa orang ramai turut memberi makanan kepada monyet. Saya rasa ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Monyet ini sebenarnya haiwan liar, dan mereka mencari makanan hampir setiap masa.

“Apabila anda memberi makanan kepada mereka, mereka akan turun. Kadang-kadang mereka menyerang orang jika mereka tidak mendapat makanan yang mereka inginkan,” katanya kepada TVS.

Pengunjung juga berharap agar aktiviti Tai-Chi diadakan lagi di sini kerana ia merupakan aktiviti mereka dahulu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan