KUALA LUMPUR, 31 Mei : Bekas Ahli Lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Yeo Kwi Seng hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang bekas peguam wanita dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp tahun lepas.
Yeo, 68, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Wong Pei Huan, 52, di Suite 5.05-5.10, Tingkat 5, Plaza Imbi di sini antara 23 Mei dan 16 Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit memohon agar Yeo diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Kitson Foong, yang mewakili tertuduh, tidak membantah jumlah itu.
“Yeo merupakan bapa kepada dua anak dan dia seorang yang terkemuka. Oleh itu, tidak ada risiko untuk dia melarikan diri,” kata peguam itu.
Majistret Wong Chai Sia membenarkan Yeo diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan kes. -TVS