KAPIT, 1 Jun : Seorang remaja lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia lima jam selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Perindustrian Bleteh di sini pada awal pagi Isnin.
Mangsa, dikenali sebagai Timothy Ranggau Marshall yang beralamat di Tatai Kenyalang, Jalan Selirik, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada jam 8.20 pagi itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Bingkok John, berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash bersama beberapa rakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas melepak.
“Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai cuba mengelak motosikal di hadapannya tetapi tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas lalu terjatuh ke tepi jalan di lokasi kejadian,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Akibat itu, katanya, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian anggota badan sebelum dihantar oleh rakannya ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa yang bertarung nyawa lebih lima jam disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
Bingkok berkata motosikal mangsa telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit untuk pemeriksaan Puspakom.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya dalam kenyataan itu. – TVS