SIMUNJAN, 30 Mei : Kerajaaan Sarawak berhasrat untuk mengembalikan populariti beras biris dari kawasan Parlimen Batang Sadong terutamanya di Kampung Lubok Punggor dan Kampung Lubok Bunting.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong Dato’ Sri Nancy Shukri, beras biris tersebut merupakan satu produk yang sangat terkenal satu ketika dahulu.
Antara inisiatif yang boleh dilakukan ialah dengan menjadikan beras biris sebagai ‘buah tangan’ terutama untuk mereka yang datang dari luar Sarawak.
“Jadi kita gunakan itu, maka ia memberi sumber inspirasi kepada penduduk setempat untuk mula bertanam semula padi yang digelarkan beras biris dan kita sudah mulakan kembali dan malah sudah melihat hasilnya, sudah kita bungkus dan berikan sebagai hadiah daripada kami di Parlimen Batang Sadong.
Saya juga telah memberi beras biris sebagai buah tangan dan membawa beras ini ke luar negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Simbolik Serahan Beras Sempena Sambutan Perayaan Gawai dan Serahan Geran Aktiviti Tahunan JKKK serta Dana Sambutan Hari Gawai Peringkat Kampung bagi P200 Batang Sadong, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, penanaman padi juga dapat dijadikan sebagai tarikan pelancongan yang mana penduduk setempat boleh membuka gerai makan di kawasan tersebut.
Bagi meningkatkan lagi tahap sosioekonomi penduduk, beliau turut menggalakkan penduduk sekitar untuk terlibat dalam mengusahakan program homestay disebabkan kawasan tersebut kaya dengan pelbagai produk yang berpotensi untuk diperkenalkan ke dunia luar. – TVS