DEBAK, 29 Mei: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas membuat pilihan yang tepat apabila mereka memberi sokongan yang kuat kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Mohammad Razi Sitam dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada Disember lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Uggah, kemenangan Razi yang meyakinkan telah melayakkannya untuk dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.
“Pelantikan ini adalah hadiah daripada kerajaan GPS kepada para pengundi di Saribas.
“Ini juga bermakna Saribas boleh menjangkakan lebih banyak program pembangunan akan datang.
“Saya, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban yang berdekatan, dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, akan membantu Razi untuk memastikan perkara ini,” kata Uggah di majlis Hari Raya dan Pra-Gawai yang diadakan di Gelanggang Futsal Riveria di sini semalam.
Chuat dan Razi turut menghadiri majlis tersebut bersama seorang setiausaha politik kepada Premier Sarawak, Dr Richard Rapu.
Pada PRN-12, Razi menang dengan majoriti 3,236 undi apabila beliau memperoleh 5,138 undi.
Beliau telah dicabar oleh empat calon lain, dengan pencabar terdekat Patrick Kamis daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meraih 1,902 undi manakala tiga calon lain hilang ‘deposit’ masing-masing.
Menjelang pilihan raya parlimen yang dijangka akan diadakan pada tahun ini, Uggah berharap pengundi di Saribas akan terus menyokong calon GPS bagi kerusi Parlimen Betong.
“Ini akan memudahkan pembangunan dan kemakmuran pada masa depan di Saribas,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan sedang dalam proses membangunkan Lubok Tamang Agropark di sini untuk mendidik dan membimbing petani tentang konsep dan amalan dalam pertanian moden.
Ke arah mencapai matlamat ini, Uggah menyeru kepada penduduk di Saribas dan kawasan sekitar untuk memperkukuhkan lagi perpaduan mereka.
Pada majlis itu, Uggah turut menyampaikan replika cek bagi bantuan musim tengkujuh nelayan daripada kerajaan negeri sebanyak RM205,500 untuk para nelayan di Saribas. – TVS