KUCHING, 27 Mei : Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan mengesan terdapat atlet negeri yang ‘bertukar karier’ kerana elaun latihan harian yang tidak setimpal.
Timbalan Menterinya, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ada atlet menembak yang telah menjadi penghantar makanan untuk menjana pendapatan tambahan.
“Berlatih dapat RM30 sahaja, jadi penghantar makanan dapat RM150 sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini hari ini.
Perkembangan itu katanya memberi ‘cabaran besar’ kepada kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan pada temasya itu tahun ini.
Gerald Rentap berkata, selain isu ‘hilang atlet’, terdapat juga masalah lain seperti atlet Sarawak yang telah berlatih sejak beberapa tahun lalu untuk bertanding patah semangat.
“Ini kerana mereka tidak pasti mengenai acara yang akan dipertandingkan pada SUKMA nanti.
“Perkara ini juga berlaku disebabkan oleh kesan pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun lepas,”katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menetapkan sasaran untuk Sarawak menjadi juara keseluruhan SUKMA XX pada tahun ini.
Beliau yakin misi itu mampu dicapai selepas melihat prestasi cemerlang atlet-atlet Sarawak yang mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi baru-baru ini.
Temasya SUKMA XX yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19 akhirnya bakal dianjurkan bermula 29 September hingga 8 Oktober tahun ini di sekitar Lembah Klang. -TVS