KUCHING, 27 Mei: Kerajaan Sarawak secara berterusan akan menambah baik kemudahan sukan di negeri ini untuk memberi semangat kepada atlet ketika menjalani latihan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, setakat ini beberapa kemudahan sukan telah dinaik taraf termasuk gelanggang tenis di Sekolah Sukan Negeri Tabuan Jaya.
Katanya, sebagai negeri kuasa sukan negara, Sarawak perlu menyediakan tempat latihan berkualiti untuk atletnya.
“Selain di sekolah sukan berkenaan, dua gelanggang tenis di Betong juga telah dinaik taraf dengan melakukan perataan semula pada permukaan gelanggang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini hari ini.
Katanya, dalam masa terdekat, pihaknya juga bercadang untuk menaik taraf gelanggang tenis di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong.
“Kini saya berada dalam peringkat perbincangan MRSM itu untuk menambah baik tiga gelanggang tenis di situ.
“Justeru, kita bakal mempunyai lima gelanggang tenis di Betong,”katanya.
Beliau berharap dengan adanya gelanggang-gelanggang berkenaan, lebih banyak aktiviti seperti latihan atau kejohanan tenis akan dianjurkan untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan. Â -TVS