KUCHING, 26 Mei : Masalah kesesakan lalu lintas di Kota Samarahan, Muara Tuang dan kawasan berdekatan berpunca daripada beberapa pakej projek kesejahteraan rakyat yang sedang dilaksanakan di situ ketika ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara projek – projek berkenaan termasuk menaik taraf lima bulatan di sepanjang Jalan Kuching/Samarahan Expressway, pembinaan Jalan Utama Kedua Kuching/Samarahan, menaik taraf Jalan Datuk Mohammad Musa daripada bulatan G3 (berdekatan INTAN) menuju Batu 8.
“Selain itu projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Bukit Berangan di persimpangan Jalan Datuk Mohammad Musa ke Stutong juga sedang dilaksanakan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Uggah Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, bagi menangani masalah kesesakan buat sementara waktu, anggota polis akan ditempatkan di lokasi-lokasi berkaitan bagi mengawal aliran trafik pada waktu puncak. -TVS