KUCHING, 26 Mei : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diberitahu peruntukan sebanyak RM100 juta telah diluluskan untuk menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dana itu disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, Kerajaan Sarawak juga telah memohon agar projek berkenaan disegerakan untuk manfaat penduduk di negeri ini.
“Pada masa sama, kita juga meminta Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Indonesia bagi menormalisasikan perdagangan rentas sempadan terutamanya di Tebedu dan Entikong,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Awang Tengah memberitahu, kerjasama dua hala membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Indonesia terus diperkasa bagi memudahkan aktiviti rentas sempadan.
Katanya, kedua – dua negara kini sedang dalam proses semakan Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) 1970 dan Perjanjian Melintasi Sempadan (BCA) 1967.
“Ini bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan membabitkan Malaysia dan Indonesia.
“Selain itu, ia juga memperincikan pergerakan rentas sempadan bagi penduduk yang tinggal di kawasan perbatasan ,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu, pasukan petugas bagi perancangan pembangunan sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia juga akan dibentuk. -TVS