KUCHING, 26 Mei : Buaya yang dibedah pagi tadi dipercayai ‘tidak terlibat’ dalam kes serangan terhadap seorang kanak – kanak lelaki di Kampung Nyabut, Telaga Air pada Sabtu lepas.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Yusri Basri berkata, ini kerana ‘hasil’ bedah itu tidak menemui rangka manusia atau anggota badan dalam perut buaya berkenaan.
“Operasi pembedahan dengan kerjasama Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) bermula pada pukul 9 pagi tadi setelah buaya yang ditangkap semalam dibawa ke jambatan nombor tiga Sungai Nyabut dan proses berkenaan selesai kira – kira pukul 10 pagi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, bomba dan SFC hanya menemui sampah sarap termasuk beg plastik dalam perut buaya itu.
Buaya sepanjang 14 kaki dengan berat lebih 800 kilogram (kg) itu ditangkap pada pukul 6.30 petang kira – kira 400 meter dari lokasi Mohammad Adammi ‘diserang’ dan hilang dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu.
Baca > > > Kanak-kanak lelaki dibaham buaya ketika mengambil air di sungai
Baca > > > Buaya ‘gergasi’ 14 kaki ditangkap di Telaga Air
Perkembangan itu katanya menyaksikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan untuk mencari petunjuk baharu kes itu. – TVS