KUCHING, 24 Mei: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching akan beroperasi pada tahap dua, atau automasi separa.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia merangkumi enam peringkat pemanduan automasi berdasarkan definisi oleh Persatuan Jurutera Automotif, SAE.
Jelasnya, tahap sifar merujuk kepada tiada automasi manakala tahap lima adalah automasi penuh, di mana kenderaan boleh memandu dalam semua situasi tanpa campur tangan manusia.
“Dalam konteks Transit Aliran Autonomi untuk Bandaraya Kuching, kami akan beroperasi di tahap dua iaitu automasi separa di mana kenderaan boleh mengawal kedua-dua kelajuan kenderaan dan pusat lorong.”
Beliau berkata demikian menerusi ucapan penggulungannya pada sesi petang hari keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.
ART pertama di Sarawak bakal melibatkan tiga laluan yang menghubungkan Kuching, Samarahan dan Serian. – TVS