Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Cetusan idea untuk MARIA diambil dari kisah benar ibu pengarah, Ryot Alfred Ujin dan segelintir rakan-rakannya yang terluka apabila berhadapan dengan masalah cinta. Foto: Ryot Alfred Ujin

Maria, kisah cinta ibu saya – Ryot Alfred Ujin

ByNurul Amarlina

SETIAP filem pastinya ada cerita di sebaliknya. 

Tidak terkecuali ialah Maria, telemovie terbaharu karya Ryot Alfred Ujin atau lebih dikenali ramai sebagai Ryot.

Menurut Ryot, 45, cetusan idea untuk menghasilkan naskah berkenaan ialah berdasarkan kisah benar ibunya dan segelintir rakan-rakannya yang terluka akibat masalah cinta.

“Terlalu banyak kisah cinta yang saya pernah dengar, sehingga ada yang sanggup membunuh, tinggalkan keluarga dan kahwin lari.

“Saya masukkan elemen-elemen ini dalam Maria namun dikuatkan lagi cerita ini dengan plot twist yang menjurus kepada kebaikan,”katanya kepada TVS menerusi temu bual dalam talian baru – baru ini.

Di sebalik tabir penggambaran MARIA. Foto: Ryot Alfred Ujin

Katanya, Maria mengisahkan seorang wanita yang melalui liku-liku hidup sejak kecil namun sanggup berkorban apa sahaja demi cinta.

“Ibu saya yang melalui pelbagai cabaran hidup namun tetap setia mencintai bapa saya, sehinggakan tajuk telemovie itu saya namakan sempena namanya iaitu Mariana,” katanya.

“Masalah cinta yang dialami rakan-rakan ibunya membuatkan mereka mengalami gangguan emosi namun tetap masih memilih untuk bercinta.

“Ini yang membuat saya terfikir untuk menghasilkan sebuah filem saya,” katanya.

Mesej yang ingin disampaikan ialah seseorang tidak boleh menyimpan perasaan dendam terhadap orang lain walaupun atas nama cinta kerana ia memudaratkan.

Ryot berkata, beliau gemar menghasilkan cerita yang menggabungkan pelbagai elemen seperti romantik dan thriller yang melibatkan pelbagai emosi seperti adegan marah dan menangis.

Di sebalik tabir penggambaran MARIA. Foto: Ryot Alfred Ujin

MARIA ialah gabungan pelakon debut dan pelakon profesional

Bercerita tentang barisan pelakon, Ryot berkata, dia berpuas hati dengan komitmen dan etika kerja profesional pelakon-pelakon telemovie itu.

“Jovenea Jim, Ixora Roselle dan Johnny Damianus, mereka ini sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, sangat berdisiplin ketika bekerja, komited, malah lakonan mereka di luar jangkaan saya,” katanya.

Katanya, watak yang dibawa oleh trio itu juga jauh berbeza daripada yang pernah dilakonkan oleh sebelum ini.

Bagi Amin Wali pula, MARIA merupakan kemunculan pertamanya dalam industri namun mampu memberikan ‘persembahan cemerlang’.

‘Shooting’ sehingga buat pelakon menangis

Ryot menceritakan ketika penggambaran adegan klimaks Maria, dia menjadi sangat beremosi.

“Saya mengalirkan air mata, adegan itu sempurna. Amin (Wali) menangis, bila saya cakap ‘cut’ , dia masih menangis. Dia peluk saya dan bertanya, kenapa buat begini? Terima kasih atas skrip,”katanya.

Kata Ryot, skrip Maria telah ditulis oleh isterinya, Fifi Finolla.

Gandingan mereka berdua telah mendatangkan pelbagai pengiktirafan termasuk memenangi tempat kedua di pesta filem anjuran Kota Kinabalu Film & Video Association pada 2018.

Ryot, yang mula berjinak dalam bidang perfileman sejak 2006 sebagai kru dan pelakon tambahan berkata, antara semua karyanya, Maria ialah hasil kerja terbaiknya dan merupakan telemovie pertama dihasilkannya untuk TVS.

Tayangan perdana Maria di saluran TVS merupakan pilihan peribadi Ryot. 

“Saya teruja dengan kewujudan TVS kerana saluran ini berkembang maju dalam masa singkat. 

“Yang mendorong saya untuk memilih TVS kerana rancangannya termasuk drama dan filem sangat menarik, mementingkan keunikan identiti masyarakat Borneo. Oleh itu, saya rasa platform ini terbaik untuk memperkenalkan kerjaya saya,” jelasnya.

Apabila ditanya apakah projek seterusnya, Ryot memberitahu, beliau akan memulakan penggambaran filem pendek berjudul Dendam pada Jun .

Ini diikuti filem romantik Bagaton pada Julai yang berlatar belakang zaman 1800-an yang mempunyai unsur mistik kerana menceritakan tradisi simpanan mayat bagi suku kaum yang tinggal di Kota Belud, Sabah.

Selain itu, beliau juga akan bekerjasama dengan saluran “The Commodity” ,saluran YouTube dari Amerika Syarikat untuk sebuah projek travelog mulai Januari 2023. – TVS

MARIA akan ditayangkan di TVS saluran 122 Astro dan myFreeview pada 30 Mei (Isnin) jam 8.45 malam serta ulangan pada 3 Jun (Jumaat) jam 1 petang.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan