KUCHING, 24 Mei : Pemansuhan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 dan Kaedah-kaedah Mahkamah Bumiputera 1993 semasa adalah antara langkah kerajaan negeri dalam usaha mentranformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier, Datuk John Sikie Tayai berkata ordinan baharu bakal diperkenalkan dan dibawa dalam perbincangan Kabinet Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan dalam masa terdekat.
“Kami menjangkakan RUU Ordinan baharu ini akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang.
Cadangan tranformasi Mahkamah Bumiputera hanya akan bermula selepas Ordinan Mahkamah Bumiputera Sarawak diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan oleh Para Menteri pada Hari Keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, di sini, hari ini.
Jelasnya pemansuhan Ordinan dan Kaedah-kaedah semasa adalah antara cadangan dan keputusan kajian akhir dilaksanakan oleh konsultan yang telah dilantik yang mana kajian akhir telah pun diserahkan pada Mac tahun ini.
Pada Isnin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat memaklumkan pelaksanaan transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak dijangka akan dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2023.
Katanya lagi, satu Pelan Induk akan diwujudkan untuk mentransformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak kepada satu institusi kehakiman yang bebas dan berautonomi yang mempunyai fungsi sama seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.-TVS