Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Syed Hamzah Syed Paie melawat ahli keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Nyabut dan Kampung Kangka baru-baru ini.

SFC disaran lakukan kajian habitat di kawasan panas ancaman buaya

KUCHING, 24 Mei : Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) disaran melakukan kajian terperinci berhubung habitat buaya berikutan kekerapan berlakunya tragedi serangan reptilia itu sebelum ini.

Menurut Setiausaha Politik di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie, reptilia tersebut telah meragut dua nyawa hanya dalam tempoh dua hari di Kampung Kangka dan Kampung Trombol Ulu, Jalan Telaga Air beberapa hari lalu.

Justeru tegasnya kajian terkini mengenai habitat tersebut perlu segera dijalankan di Sungai Kangka, Sungai Trombol dan kawasan sekitarnya.

Baca >>>  Kanak-kanak lelaki dibaham buaya ketika mengambil air di sungai

Baca >>>  Kakak trauma lihat adik diterkam buaya

“Kajian ini penting untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan tragedi serangan reptilia tersebut berlaku baru-baru ini.

“Adakah ia berpunca kerana habitat terancam atau ekologi terganggu menyebabkan reptilia ini masuk ke kawasan sungai penempatan manusia?

“Atau mungkinkah juga kerana bilangan reptilia itu sudah mencapai jumlah yang banyak kerana berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung yang mendakwa terdapat 40 hingga 50 ekor buaya boleh dilihat pada waktu malam di sungai belakang rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarah keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Nyabut dan Kampung Kangka baru-baru ini.

Syed Hamzah Syed Paie melawat ahli keluarga mangsa serangan buaya di Kampung Nyabut dan Kampung Kangka baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sekiranya jumlah buaya di kawasan tersebut telah mencapai jumlah yang amat banyak maka SFC perlu menjalankan operasi menangkap buaya secara besar-besaran bagi mengelak tragedi sama berulang.

Tambahnya, operasi tersebut boleh dibuat kerana buaya di Sarawak bukan lagi disenarai sebagai haiwan liar yang dilindungi apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2016 telah membenarkan buaya di Sarawak diburu.

“Ia diburu sama ada untuk tujuan komersial dan ini adalah hasil dari negosiasi yang diketuai oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Datuk Sri Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada waktu itu.

“Berdasarkan perangkaan yang dibuat pada tahun 2016 sebanyak 13,500 ekor buaya dikenal pasti mendiami lebih 40 sungai utama di Sarawak. Jumlah itu agak membimbangkan berikutan konflik antara reptilia itu dengan manusia kerap tercetus.

“Susulan kejadian itu juga, semua penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan supaya mengambil langkah berhati-hati supaya tiada lagi kejadian sama berulang,” tambahnya.

Terdahulu SFC memaklumkan berkenaan program 3M Buaya, di mana SFC akan berkongsi ilmu pengetahuan serta cara-cara mendepani permasalahan berkaitan reptilia ini.

Kempen berkenaan bertujuan membantu rakyat mengenali, memahami dan memulihara buaya serta mendidik masyarakat yang tinggal di kawasan yang dipenuhi buaya untuk hidup dengan kehadiran reptilia itu di kawasan mereka dengan selamat-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan