BAC GIANG (Vietnam), 22 Mei :Di sebalik tangisan kegembiraan berjaya menamatkan kemarau pingat emas 23 tahun Malaysia dalam acara beregu campuran Sukan SEA, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei turut tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih selepas majlis penyampaian hadiah.
Selain menghadapi tugas sukar beraksi menentang rakan sepasukan yang dianggap seperti keluarga sendiri, mereka juga sebak apabila kemenangan 15-21, 21-19, 21-13 ke atas Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pada final di Gimnasium Bac Giang bakal menjadi aksi terakhir secara bersama bagi kedua-dua pasangan.
Selepas empat tahun digandingkan bersama, Tang Jie, 24, akan berpasangan dengan Valeree Siow, manakala Yen Wei, 26, bakal disatukan dengan Choong Hon Jian susulan rombakan di bahagian beregu campuran skuad kebangsaan.
“Memang kami gembira dengan keputusan ini pada penampilan pertama di Sukan SEA dan mungkin terakhir berpasangan dengan Tang Jie. Bagaimanapun, saya rasa kami telah buktikan gandingan kami, jadi mungkin boleh digandingkan semula (pada masa depan).
“Saya tahu dia sangat letih tadi kerana banyak pukulan smash dan menyerang, jadi saya sentiasa sokong satu sama lain, ingatkan apa yang kena buat dan yakin dengan diri sendiri. Kita hanya mahu Jalur Gemilang terbang tinggi dan lagu Negaraku dinyanyikan di luar negara, itu sesuatu yang paling membanggakan,” katanya.
Bagi Tang Jie, menentang rakan sepasukan adalah tugas paling sukar kerana keakraban antara pemain dalam skuad kebangsaan lebih sebagai ahli keluarga, selain saling mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing.
“Ia memang sukar kerana kami berlatih, makan dan tinggal sekali, kami rasa macam satu keluarga. Menang atau kalah, kami memang gembira untuk satu sama lain,” katanya sambil menitiskan air mata.
Menurut Tang Jie mereka juga tahu permainan dan tahap mental serta fizikal masing-masing kerana telah berlatih bersama.
“Sebab itu kami agak gementar pada set pertama kerana takut lawan tahu kami nak buat apa, jadi tidak percaya diri sendiri, namun berjaya bangkit,” tambahnya.
Sementara itu, Pang Ron, yang juga akan mencuba gandingan baharu apabila Yee See bakal beraksi bersama pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon, berkata kejayaan meraih perak pada Sukan SEA kali ini, menjadi kenangan paling manis bagi dirinya dan Yee See.
“Kami amat menghargai gandingan selama tiga tahun ini. Kami berdua telah mencuba sebaik mungkin dan begitu juga mereka, tetapi mereka melakukan lebih baik daripada kami,” katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih emas bagi beregu campuran dalam Sukan SEA ialah pada edisi 1999 di Brunei menerusi Chew Coon Eng-Chor Hoii Yee.-TVS