KUCHING, 22 Mei : Kerajaan Sarawak memberi sokongan kepada penganjuran Miss Tourism International (MTI) yang merupakan usaha untuk mempromosikan kepelbagaian budaya di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, menerusi penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu, ia akan turut menarik kumpulan komuniti unik dari seluruh dunia.
“Melalui penyertaan peserta ratu cantik dari seluruh dunia, kita juga dapat lihat melihat pelbagai keunikan yang bakal dibawa oleh peserta bagi mempromosikan keistimewaan negara masing – masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian acara itu di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden MTI, Tan Sri Datuk Danny Ooi, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Hii Chang Kee serta Miss Tourism International Malaysia 2021, How Zo Ee.
Pertandingan MTI kali ke-25 akan berlangsung bermula 13 hingga 27 November depan di RAIA Hotel dan Pusat Konvensyen RAIA.
Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah ialah pada 1994.
Acara selama 18 hari itu menyaksikan seramai 60 negara menghantar wakil untuk merebut gelaran berkenaan. -TVS