KUCHING, 22 Mei : Pagi tadi, orang ramai di sekitar pusat bandar raya ini terpegun melihat aksi sekumpulan lelaki berpakaian ala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ‘membingitkan’ suasana dengan deruman enjin motosikal berkuasa tinggi mereka.
Kemeriahan berkenaan sebenarnya bukan berniat untuk menunjuk – nunjuk sebaliknya ia merupakan pengisian acara Lelaki Budiman di Kuching Bermotosikal melibatkan 86 peserta.
Berakar umbi daripada program The Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) yang bermula di United Kingdom, penganjurnya, Syahrizan Junaidi berkata, acara itu dianjurkan semula selepas direhatkan selama dua tahun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, program itu juga merupakan serampang dua mata kerana turut memberi kesedaran mengenai kanser prostat dan kesihatan mental di kalangan lelaki.
“Program ini telah memasuki edisi ke-11 penganjuran di seluruh dunia.
“Konsepnya , semua peserta harus berpakaian segak,” katanya.
Sementara itu, penganjur bersama, Zul Hairune Bisnu berkata, dia tidak menyangka program tahun ini menerima sambutan menggalakkan.
“Sebagai rakan yang menyediakan tempat untuk DGR tahun ini , saya sangat berterima kasih kepada semua penunggang motosikal yang menjayakan program ini,”katanya.
Bagi seorang pesara guru, Abang Zainal Abidin yang terlibat dengan program itu berpandapat, DGR wajar dilaksanakan setiap tahun sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli kelab motosikal.
“Hari ini saya melihat jadual berjalan lancar, jarak tunggangan juga tidak terlalu jauh dan sangat sesuai untuk konvoi seperti ini, “katanya.
Program yang disertai penunggang motosikal dari Kota Samarahan dan Kuching ini bermula di perkarangan Waterfront Hotel dan berakhir di sebuah restoran di pusat bandar mengambil masa kira-kira 45 minit.
DGR 2022 ini juga turut meraikan kepelbagaian bangsa, umur dan jenis motosikal yang digunakan oleh peserta. -TVS