MARUDI, 21 Mei: Seorang lelaki ditahan polis di tepi jalan di Lapok Tinjar, Baram dekat sini malam kelmarin kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketika ditahan, suspek yang panik secara ‘sukarela’ menyerahkan dadah jenis Methamphetamine yang disimpannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Marudi , Deputi Superintendan Mohd. Ruslan Mat Kib berkata, suspek berusia 51 tahun itu ditangkap sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekitar pukul 9.30 malam.
“Lelaki itu menyerahkan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 3.70 gram,” katanya ketika dihubungi TVS.
Katanya, suspek mengaku terlibat dengan kegiatan penagihan dadah sejak 2019.
“Dia juga memberitahu sering membeli dadah daripada pelbagai sumber di Miri manakala ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah,”ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.