KUCHING, 20 Mei : Status projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Banting dan Lingga kini di peringkat penilaian tender, jelas Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Katanya, projek bekalan air termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan dijangka mula dilaksanakan pada hujung tahun ini.
Ketika menjawab soalan Datuk Mong Dagang (GPS – Bukit Begunan), Dr. Abdul Rahman menjelaskan, projek SAWAS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menyaluarkan bekalan air ke kawasan terpencil yang belum menerima bekalan air bersih.
“Pelaksanaan SAWAS merupakan satu usaha ke arah mencapai visi kerajaan negeri untuk menyalurkan 100 peratus bekalan air menjelang 2025,”katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pagi ini.
Beliau menambah, projek SAWAS juga akan menggunakan sistem bekalan air yang bersesuaian, dikendalikan serta diselenggarakan oleh masyarakat tempatan.-TVS