WASHINGTON, 19 Mei : Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan menyelaraskan usaha untuk menangani krisis makanan susulan kekurangan makanan dan peningkatan harga yang mendadak akibat konflik Rusia-Ukraine.
Konflik itu telah mencetuskan krisis di seluruh dunia yang menyaksikan banyak negara menghadapi kekurangan makanan dan kenaikan harga makanan, baja dan sumber tenaga, kata Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.
“Keadaan lebih sukar kerana ia berlaku ketika kewangan negara meruncing akibat pandemik dan beban hutang yang tinggi.
“Dengan inflasi mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad, negara berpendapatan rendah dan sederhana paling berisiko. Kebuluran sering mencetuskan masalah sosial dan keganasan,” kata Georgieva.
Beliau berkata krisis makanan 2007-2008 perlu dijadikan iktibar, masyarakat antarabangsa perlu segera bertindak dengan mengekalkan perdagangan terbuka, membantu isi rumah yang memerlukan, memastikan bekalan pertanian mencukupi dan menangani masalah pembiayaan.
IMF dan beberapa institusi kewangan antarabangsa lain turut mengeluarkan pelan tindakan bersama untuk menangani keselamatan makanan.
Pelan tindakan bersama itu mempunyai enam matlamat: menyokong golongan rentan; menggalakkan perdagangan terbuka; mengatasi kekurangan baja; menyokong pengeluaran makanan; melabur dalam pertanian berdaya tahan iklim; dan menyelaras kesan maksimum.
IMF akan menyediakan pembiayaan jangka panjang serta mempergiat usaha dengan Bank Dunia dan lain-lain bagi menyokong penstrukturan semula hutang. – TVS