Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Wayar tembaga kabel bumi dan barang rampasan lain antara yang dipamerkan kepada media semasa sidang media mengenai tangkapan kes curi kabel di Putrajaya oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini. Foto Bernama.

Empat pencuri kabel elektrik di Putrajaya tumpas

PUTRAJAYA, 18 Mei : Aktiviti mencuri kabel bumi tembaga di pusat membeli-belah Alamanda di sini berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat lelaki tempatan termasuk bekas pengawal keselamatan premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Putrajaya , Asisten Komisioner (ACP) A. Asmadi Abdul Aziz berkata tiga individu dikesan melakukan kegiatan itu di aras satu pusat beli-belah itu pada 10 Mei lepas sekitar pukul 9 pagi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan seorang daripadanya dipercayai bekas pengawal keselamatan terbabit. 

Susulan kes kecurian kabel elektrik dengan kerugian dianggarkan RM6,800, pihak pengurusan pusat membeli-belah itu telah membuat laporan polis.

“Polis menahan tiga lelaki tersebut di tiga lokasi berbeza di Dengkil, Sepang pada 12 dan 13 Mei lepas dan siasatan mendapati ketiga-tiga individu itu adalah kawan dan menggunakan kereta sewa bagi aktiviti mencuri kabel,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lagi individu yang merupakan anak kepada pemilik kedai lusuh di Taman Putra Perdana, Sepang, disyaki pembeli tembaga berkenaan.

A. Asmadi berkata antara barangan dirampas daripada suspek adalah pemotong wayar, gergaji besi dan wayar kabel bumi berwarna hijau.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Menurutnya, dua daripada mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.

A. Asmadi berkata kegiatan mencuri kabel didapati rancak berikutan permintaan dan harga tinggi hingga mencecah RM34 sekilogram.

“Aktiviti sedemikian harus dibanteras sebelum ia meluas ke bangunan kerajaan dan kawasan perumahan yang akan menganggu sistem komunikasi dan bekalan elektrik di Putrajaya,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan