KUCHING, 18 Mei : Perbahasan bagi meminda Rang Undang – undang Kanun Tanah (Pindaan) dilihat mampu menyediakan aliran pendapatan baharu buat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, rang undang-undang berkenaan juga memperuntukkan kawalan oleh Kerajaan Sarawak bagi spektrum di ruang udara di atas tanah di Sarawak.
Katanya, ia juga akan mengawal selia penggunaan tanah di darat dan di pelantar benua Sarawak untuk penyimpanan karbon dioksida.
“Melalui hak di atas tanah di Sarawak , ia akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Tanah Sarawak (Pindaan) 2022 bagi meminda Kanun Tanah untuk memperuntukkan definisi yang lebih komprehensif tentang tanah seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara yang telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Kennedy Chukpai berkata, beliau yakin setelah pindaan berkenaan diluluskan, ia akan memperuntuukan hak kepada kerajaan untuk mengawal selia dan pengawal penggunaan spektrum dalam lajur di atas ruang udara , di atas tanah dan penggunaan tanah untuk penyimpanan karbon, mengikut peraturan yang dibuat di bawah Seksyen 213.
“Sehubungan itu saya menyeru semua rakyat bersatu padu tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama untuk terus menyokong usaha Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menjaga hak Sarawak dan rundingan untuk menggembalikan semua hak-hak Sarawak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963,”katanya. -TVS