SEATTLE, 18 Mei : Amazon Web Services Inc (AWS) komited untuk merealisasikan potensi Malaysia sebagai hab pusat data di rantau Asia Tenggara dan dijangka melabur satu jumlah yang besar untuk membangunkan pusat data di negara ini pada tahun ini.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan telah memberikan kelulusan kepada AWS untuk melabur di Malaysia, namun ada beberapa perkara yang masih perlu diperhalusi oleh syarikat itu dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan.
“Oleh kerana ini merupakan satu bidang teknologi baharu yang berkualiti tinggi, kerajaan bersedia untuk meneliti permintaan AWS untuk menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi ini ke Malaysia.
“Kami sedang merundingkan beberapa insentif baru yang lebih inovatif dan menarik minat AWS untuk membina lebih banyak pusat data di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan dengan wakil AWS di sini, pada Selasa.
AWS merupakan salah satu syarikat gergasi perintis yang menyediakan perkhidmatan dalam pengkomputeran awan.
Menurut Azmin, perbincangan hari ini telah menghasilkan satu persefahaman tentang permintaan daripada AWS berhubung beberapa insentif baharu yang sedang dipertimbangkan oleh MITI dan Kementerian Kewangan.
“Kami yakin proses perundingan ini akan dapat dimuktamatkan dalam masa yang terdekat kerana bagi Malaysia, pelaburan ini amat penting untuk mempercepatkan proses transformasi dan adaptasi dalam teknologi digital di Malaysia,” katanya.
Sebelum itu, Azmin juga telah bertemu dengan wakil Microsoft Corporation, di mana syarikat teknologi gergasi tersebut komited untuk melatih satu juta tenaga kerja tempatan melalui inisiatif Bersama Malaysia Microsoft yang dilancarkan pada April 2021.
“Saya dimaklumkan bahawa hampir 500,000 tenaga pekerja tempatan telah dilatih melalui program tersebut mulai tahun ini, dan saya yakin sasaran untuk melatih satu juta tenaga pekerja tempatan akan dapat dicapai pada 2023,” katanya.
Menurutnya, Microsoft dan AWS juga bersedia memberikan input kepada kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan daya saing negara dalam ekonomi digital.
“Kehadiran syarikat-syarikat tersebut pastinya akan dapat membantu mempercepatkan transformasi dan adapsi teknologi digital yang dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari dan mampan di negara ini.
“Pelaburan seperti ini juga merupakan satu pelaburan yang selari dengan aspirasi Dasar MyDigital yang diperkenalkan untuk menjamin akses dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pihak industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam teknologi digital,” katanya.
Mengenai pertemuan dengan Ammex Corporation pada petang Selasa, Azmin berkata pengimport sarung tangan industri untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) itu bersedia untuk meningkatkan jumlah import produk dari Malaysia.
Beliau berkata setakat ini, 60 peratus sarung tangan industri syarikat tersebut diimport dari Malaysia.
“Kami telah membantu mengenal pasti beberapa syarikat tempatan yang menjadi pengeluar sarung tangan industri ini untuk memenuhi permintaan syarikat tersebut.
“Ini akan membantu merancakkan lagi aktiviti sektor pembuatan di negara kita, khususnya dalam kalangan PKS bagi memenuhi piawaian antarabangsa dan juga meningkatkan produktiviti mereka bagi pasaran di AS,” katanya. – TVS