KUCHING. 18 Mei : Lazimnya dalam masyarakat Iban, upacara miring akan diadakan sebelum berlangsungnya sambutan hari Gawai Dayak yang mana bertujuan untuk memberkati, melindungi, membawa kebahagian, kedamaian dan keharmonian.
Tahun ini, jualan barangan dan peralatan bagi upacara miring dilihat semakin bertambah baik menjelang hari Gawai yang bakal tiba tidak lama lagi.
Tinjauan wartawan TVS di pasar sentral Sibu mendapati lebih kurang 30 peniaga menjual barangan miring di sekitar pasar tersebut dan rata-rata peniaga berpendapat jualan masih mendapat sambutan orang ramai.
Menurut Nini Nyawai, 55, salah seorang peniaga di pasar tersebut, apabila tibanya musim perayaan Gawai beliau akan membuat barangan upacara miring sendiri atau mengambil dari pembekal untuk dijual.
Katanya, pada setiap tahun jualan beliau sentiasa mendapat sambutan daripada orang ramai.
Seorang lagi peniaga Lim Liam Bing, 61, pula berkongsi bahawa beliau mempunyai 30 tahun pengalaman dalam penjualan barangan miring. Beliau mengakui bahawa setiap perniagaan ada pasang surut nya dan sekarang ramai yang sudah beragama tidak lagi berminat melakukan upacara miring.
Bagi Frida, 59, Awal pula, ekoran kesibukan berniaga sambutan Gawai kali ini hanya disambut secara bersederhana sahaja bersama ahli keluarga tercinta.
Dalam masyarakat Iban, miring merupakan suatu upacara atau ritual untuk menghormati ‘Petara’ atau Tuhan yang mana upacara tersebut akan diadakan sebelum sesuatu acara penting seperti Gawai Dayak atau selepas berlakunya malapetaka yang tidak diingini -TVS