Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selepas 14 tahun, Cikgu Mizi masih setia mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Tunoh.

Dari Kulim ke Kapit, Cikgu Mizi setia 14 tahun di SK Sungai Tunoh

ByFirdaus Ismail

“Kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji, mendidik dan memimpin, putra putri negara kita”.

Setiap kali tiba tanggal 16 Mei, lirik lagu Kami Guru Malaysia pasti terngiang di telinga, mengimbau kenangan zaman persekolahan bersama para guru yang menyumbang jasa tidak ternilai kepada kita semua.

Pada kebiasaannya, guru dari Semenanjung Malaysia yang ditugaskan ke Sabah atau Sarawak, ‘paling lama’ mereka akan berkhidmat sekitar tiga hingga lima tahun sahaja di Borneo.

Cukup tempoh itu, mereka akan mula mengisi borang permohonan untuk kembali bertugas di tempat sendiri.

Sudah tentu faktor jarak serta ingin lebih dekat dengan keluarga menjadi alasan untuk segera pulang.

Bagaimanapun, kisah guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tunoh, Kapit ini yang terletak kira -kira 539 kilometer (km) dari Kuching ini sedikit berbeza.

Bermula dengan perasan ‘tertekan’ kerana ditugaskan jauh di pedalaman Sarawak, Mohd. Tarmizi Mat Lin atau Cikgu Mizi tanpa sedar dia sudah ‘jatuh cinta’ dengan tempat itu.

Sehingga hari ini, Cikgu Mizi sudah 14 tahun mengajar di sekolah itu malah saban hari, semangatnya untuk mendidik putera puteri negara di Sungai Tunoh terus membara.

Berasal dari Kulim, Kedah, dia mengakui ‘terkejut’ apabila ditugaskan ke pedalaman Sarawak.

SK Sungai Tunoh hanya mempunyai murid seramai 60 orang sahaja.

“Bergenang air mata apabila dapat surat arahan bertugas di sini. Kawan pula mengusik mengatakan SK Sungai Tunoh sangat jauh namun disebabkan bidang ini yang dipilih, saya teruskan juga,”katanya kepada TVS baru – baru ini.

Hari pertama ‘pengembaraannya’ ke Sarawak , Cikgu Mizi mula percaya cerita yang didengarnya.

“Sampai sahaja di Sibu, saya terpaksa menaiki bot selama tujuh jam untuk ke Kem Balak Sempili sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta pacuan empat roda selama satu jam 30 minit menyelusuri jalan tanah merah untuk sampai ke sekolah itu yang terletak kira – kira 80 kilometer (km) dari Bandar Kapit,”katanya.

Ketenangan dan keindahan Kapit menjadi antara faktor Cikgu Mizi selesa mengajar di kawasan berkenaan.

Hari pertama di kampung itu, guru berusia 38 tahun ini mengakui dia terkejut kerana mendapati ramai yang bertatu.

“Hampir 100 peratus penduduk di sini terdiri daripada bangsa Iban, namun saya mula memahami itu merupakan budaya mereka,”katanya.

Cikgu Mizi berkata, sebagai orang luar, tidak mudah untuk membiasakan diri di tempat baharu.

“Selepas lapan bulan, saya mula rasa selesa dan dapat bertugas seperti biasa,”katanya.

Akui Cikgu Mizi, masalah komunikasi kini tidak lagi membelenggunya kerana sudah fasih berbahasa Iban.

Ini menyebabkan tugas mengajarnya menjadi semakin mudah.

Graduan Universiti Malaya ini berkata, murid di SK Sungai Tunoh tidak ramai, hanya sekitar 60 orang sahaja, oleh itu dia kenal hampir semuanya.

Setiap kali Hari Guru, Cikgu Mizi biasanya menerima hadiah berupa hasil pertanian yang ditanam oleh ibu bapa muridnya.

“Adat menjadi guru, kami juga manusia biasa, ada hari, saya melenting juga apabila berlaku kes disiplin seperti bergaduh, lari dari asrama dan mencuri namun ianya hanya kes terpencil dan tidak serius,”katanya.

Ditanya mengenai penerimaan masyarakat setempat terhadap orang luar sepertinya, Cikgu Mizi berkata, perkara itu tidak timbul malah gelaran guru sangat dihormati di sini.

“Kadang – kadang saya rasa seperti wakil rakyat apabila dijemput ke setiap majlis yang penduduk kampung anjurkan.

“Mereka juga sangat menghormati saya yang beragama Islam apabila menyediakan makanan halal dan sebagainya,”katanya.

Berkenaan prestasi murid- muridnya pula, Cikgu Mizi memberitahu, dia perlu menjadi lebih kreatif dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran.

“Sebenarnya sama sahaja macam sekolah di kawasan bandar, ada murid yang memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami apa yang diajar.

“Ada juga keluarga yang tidak begitu kisah tentang pendidikan, namun ramai sebenarnya yang berpotensi apabila mudah tangkap apa yang saya sampaikan,” katanya.

Diusik soalan nakal tentang sama ada dia pernah terserempak sang buaya yang menjadi ketakutan ‘orang semenanjung’ kala melawat Sarawak, Cikgu Mizi berkata, pada mulanya dia juga risau apabila terpaksa menaiki bot dalam tempoh yang agak lama selama bertahun -tahun.

“Saya hanya pernah terserempak sekali sahaja dengan reptilia itu. Biasanya, apabila mendengar enjin bot, buaya tidak akan dekat dengan kenderaan air itu,”dedahnya.

Katanya, setelah 14 tahun mengajar di situ, dia mula melihat perubahan apabila ramai di kalangan anak muridnya berjaya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

“Seingat saya ada dua orang bekas murid yang berjaya masuk universiti, ada dua yang menyambung pengajian di maktab perguruan malah ramai yang mendalami bidang teknikal di politeknik,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mengisi masa lapang, Cikgu Mizi yang merupakan pemain hoki ketika zaman universiti memberitahu, dia turut mewakili Sarawak dalam sukan itu Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (Maksak).

Cikgu Mizi turut aktif dalam sukan hoki dan mewakili Sarawak pada Sukan Maksak.

“Selain itu, saya juga gemar melancong. Sebelum pandemik, saya sempat menjelajah ke buah 38 buah negara antaranya Itali, Sri Lanka, Indonesia dan sebagainya.

“Hujung tahun ini, jika semuanya berjalan lancar, saya akan ke Jepun kerana percutian ke negara itu tertangguh disebabkan pandemik sebelum ini,”katanya.

Selepas lebih sedekad, Cikgu Mizi mengakui Kapit kini sudah semakin membangun walaupun masih banyak yang perlu dilakukan.

“Sejak 2018 apabila jambatan siap, masa perjalanan dapat dijimatkan, tidak perlu lagi menaiki bot dalam tempoh yang panjang,”katanya.

Beliau memberitahu, kawasan rumah panjang di Sungai Tunoh turut tidak terkecuali menikmati pembangunan.

“Di setiap rumah panjang kini sudah ada kemudahan internet percuma dan talian telefon, jadi lebih mudah untuk berkomunikasi dan mengetahui perkembangan dunia luar,”katanya.

Ujarnya, di Kapit, jaringan jalan raya sudah semakin baik dan lebih mudah untuk ke Sibu.

“Bagaimanapun untuk SK Sungai Tunoh, kemudahan masih kurang.

“Pada masa hadapan, saya berharap perkara ini dapat diperbaiki untuk manfaat murid-murid apatah lagi sesi pengajaran dan pembelajaran ketika ini banyak menggunakan internet seperti diminta oleh Kementerian Pendidikan,”katanya.

Kepada soalan berapa lama lagi dia mahu mengajar di situ, Cikgu Mizi berkata, setakat ini, dia tidak mempunyai perancangan untuk memohon pertukaran.

“Saya selesa di sini, biarlah masa menentukannya,”katanya.

Selamat Hari Guru Cikgu Mizi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan