HANOI, 16 Mei : Kedudukan Kontinjen Malaysia dalam carta pungutan pingat semakin membimbangkan apabila terus turun ke tangga keenam setelah temasya Sukan SEA ke-31 di sini, memasuki hari kesembilan, semalam.
Kedudukan itu pastinya mencemaskan kerana kontinjen negara sering berada di kedudukan lima teratas dalam sukan dwitahunan tersebut kecuali sekali di tempat keenam pada edisi 1983 di Singapura.
Dengan pungutan tiga pingat emas, masing-masing dalam acara pencak silat, gimnastik dan olahraga hari ini, Malaysia kini mengumpul 19 pingat emas, 24 perak dan 44 gangsa untuk berada di kedudukan keenam, turun satu tangga dari tempat kelima, semalam.
Tuan rumah, Vietnam terus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu setelah mengumpul 88 pingat emas, 54 perak dan 55 gangsa, diikuti Thailand di tempat kedua 36-38-53, Filipina 30-34-44, Singapura 24-25-30 dan Indonesia di tempat kelima dengan pungutan 23-36-30.
Pada saingan hari ini, gelanggang silat menyumbangkan pingat emas pertama buat negara menerusi Muhammad Khairi Adib Azhar dalam aksi penuh mendebarkan dalam final silat tanding kelas B Lelaki (50-55kg).
Kecemerlangan pesilat muda itu, bagaimanapun gagal diterjemahkan tiga lagi pesilat negara di pentas final apabila srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Shazwana Ajak dan Billage Nakang terpaksa akur di tangan lawan masing-masing dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Di Pusat Gimnasium Quan Ngua, gimnas artistik wanita negara Rachel Yeoh Li Wen terus menampilkan aksi cemerlang apabila meraih emas kedua peribadi pada Sukan SEA Hanoi menerusi acara titian imbangan.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu, sebelum ini memenangi emas acara palang bertingkat, dan gangsa bagi acara all-around individu.
Sementara itu, atlet lompat bergalah wanita kebangsaan Nor Sarah Adi mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas sekali gus menamatkan kemarau emas 11 tahun bagi Malaysia dalam acara berkenaan pada temasya sukan dwitahunan tersebut.
Kuartet 4x100m lelaki negara dibarisi Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi turut berjaya mempamerkan aksi terbaik apabila merangkul perak dengan memecahkan rekod kebangsaan acara itu.
Setelah 11 tahun kemarau pingat, skuad berbasikal bukit wanita negara memperagakan kayuhan bertenaga untuk menghadiahkan satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara Cross Country Olympic, masing-masing menerusi Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon.
Di Pusat Akuatik My Dinh, skuad negara akhirnya berjaya menuai pingat apabila perenang muda Khiew Hoe Yean meraih dua perak masing-masing dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki, selepas Malaysia kempunan merangkul sebarang pingat sejak saingan bermula Sabtu lepas.
Sukan menembak turut melegakan kontinjen negara apabila Hafiz Adzha yang lima tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa mencipta kejutan merangkul pingat perak acara 25 meter (m) Rapid Fire Pistol.
Temasya Sukan SEA Hanoi akan bersambung esok dengan beberapa acara menjadi tumpuan, antaranya taekwondo. – TVS